I
Istilah ‘mengaji’ sangat tinggi nilai dan martabatnya pada obsesi dan mentaliti masyarakat Melayu di selatan Thailand (selepas ini disebut Patani). Lazimnya, perkataan ‘mengaji’ hanya dipadankan dengan kegiatan pembelajaran yang berbentuk keagamaan atau kerohanian. Nilai dan martabat perkataan ‘mengaji’ini juga sangat tinggi posisinya pada persepsi umum. Ia tidak boleh sewenang-wenang dirangkaikan dengan mana-mana istilah lain yang bercorak keduniaan.
Oleh itu, kebiasaannya istilah ini dipakai hanya dalam konteks apabila seseorang individu itu menceburkan diri untuk kegiatan yang bercorak keagamaan atau berusaha untuk mempelajari agama atau juga lebih tepat disebut untuk mendalami ilmu tentang hukum hakam sahaja. Hasilnya, mereka rata-rata berpuas-hati dengan padanan antara ‘mengaji’ dengan ‘al-Quran’. Amat tidak wajar jika disebut ‘belajar al-Quran’ . Istilah ‘belajar’ layak dipadankan dengan kegiatan yang bukan bercorak keagamaan, iaitu kegiatan pembelajaran umum ala akademik. Begitu tinggi nilai dan martabat perkataan ‘mengaji’ dalam konteks masyarakat Melayu Patani.
Dalam makalah kecil ini saya akan membicarakan tentang persepsi masyakarat Melayu Patani terhadap kebudayaan warisan bangsa. Tumpuan perbincangan akan tertumpu kepada golongan modenis dan agamawan. Sejauh manakah mereka menjiwai watak dan aspek-aspek kemelayuan dalam kelangsungan hidup mereka. Antara Islam dan Melayu yang mana satukah yang menjadi idola hidup mereka? Apakah dalam perjalanan menuju ke alam akhirat ini mereka langsung mengenepikan tradisi kemelayuan yang kononnya tidak islamik?
II
Sebelum pergi lebih jauh ada baiknya saya memperkatakan sedikit tentang latar belakang masyarakat Melayu Patani secara ringkas. Umum mengetahui bahawa struktur masyarakat Melayu Patani bertunjangkan agama. Patani merupakan salah satu pangkalan penyebaran agama Islam paling subur di rantau ini. Patani pernah menjadi pusat kegiatan dakwah penyebaran agama Islam yang pesat pada suatu ketika dulu. Malah sehingga sekarang pun ciri-ciri peninggalan silam sebagai serambi Mekah masih lagi terkesan. Contohnya, sistem pengajian tradisional atau disebut ‘sistem pondok’ masih lagi hidup walaupun tidak seaktif dulu. Namun yang jelasnya, sistem ini masih berjalan dan ia masih menjadi institusi keagamaan yang berperanan dalam menjana minda keagamaan serta memupuk nilai-nilai keagamaan kepada penduduk tempatan. Sementara contoh lain, yang kuat melambangkan ketamadun Melayu-Islam di Patani ialah munculnya deretan tokoh ulama terkenal seperti Syeikh Daud al-Fathoni, Syeikh Wan Ahmad Mohd. Zein al Fathoni, serta beberapa tokoh lain. Tokoh-tokoh ulama-intelektual ini bukan hanya terkenal ke peringkat tempatan sahaja malah ke peringkat internasional, khususnya lanskap dunia Arab / Islam .
Dengan kata lain, apabila menyebut Patani segeralah terlintas kepada kita tentang satu rumpun masyarakat yang taat beragama, warak, tulus dan low profile sikapnya. Imej-imej kesufisme yang muncul di kalangan orang Melayu Patani disebabkan kesan pengajaran agama yang membentuk peribadi muslim selaras dengan tujuan Islam sebenar (Quranic Identity). Kehidupan mereka dilingkungi oleh ajaran-ajaran agama yang diberikan oleh tok-tok guru yang tidak jemu-jemu memberi nasihat di surau. Jadi, mahu tidak mahu suara dan seruan tok-tok guru tadi terpercik jua pada deria telinga dan hati mereka. Dan secara tidak sedar mereka berada dalam lingkungan selamat yakni lingkungan yang dibentengi oleh asas-asas agama. Dengan ini sangat munasabah jika dikatakan bahawa minda dan falsafah hidup Melayu Patani umumnya berdimensikan agama (Islam).
Dalam erti kata lain, mereka tidak terlalu ghairah dan terpukau dengan kegermencingan duniawi. Mereka sudah berpuas hati hidup sebagai warga desa yang dapat menjalani ibadat dengan baik dan tidak diganggu-gugat oleh mana-mana pengaruh asing. Oleh itu, sebarang masalah yang timbul – terutama yang berkaitan dengan hal-hal keduniaan tidak sangat dihirau atau diambil peduli. Justeru apabila berlaku krisis kejatuhan harga produk pertanian seperti tanaman getah, padi, dokong, rambutan dan sebagainya tidak pernah ada demonstrasi atau bantahan di kalangan mereka. Ini adalah berpunca daripada sikap mereka yang beranggapan bahawa itu semua adalah takdir tuhan. Atau mungkin juga mereka menganggap bahawa ‘kalau rezeki secupak bukan segantang ditentukan oleh Tuhan. Jadi, buat apa nak bising-bising’. Sebaliknya jika didapati isu itu menyentuh akidah dan agama Islam. Mereka cepat melenting dan sensatif. Mereka segera bangkit mempertahankan kesucian agama Islam habis-habisan. Contohnya, mereka menentang keras terhadap undang-undang kerajaan Thai yang membenarkan patung berhala ditempatkan di setiap sekolah kebangsaan Thai di setiap ceruk desa pada suatu ketika dahulu. Demikian juga dalam hal menuntut hak menutup aurat di kalangan kaum muslimah. Peristiwa tersebut telah mendapat reaksi meluas di kalangan Melayu Patani.
Apa yang mahu saya perkatakan di sini ialah betapa teguhnya Islam bertapak di selatan Thailand. Proses perkembangan ke arah kemantapan agama Islam di selatan Thailand tidak menjadi kesangsian sedikit pun. Apatah lagi di bawah payung perlembagaan politik Thai yang awal-awal lagi telah pun termaktub melindungi semua agama yang ada di Thailand.
Keadaan ini bertambah mantap lagi dengan fitrah Melayu Patani sendiri yang sangat kuat berpegang pada ajaran agama Islam. Sebagai bukti, kita dapat menyaksikan bahawa aliran pendidikan agama tetap menjadi pilihan utama masyarakat Melayu Patani untuk anak cucu mereka. Sekolah-sekolah pondok (baca-madrasah) walaupun agak daif daripada segi alat kelengkapan moden serta kemudahan lain namun ia sentiasa mendapat perhatian daripada masyarakat Melayu Patani berbanding dengan sekolah-sekolah menengah kerajaan yang sedia lengkap dengan infrastruktur dan alat teknologi pendidikan. Sekolah pondok tetap menjadi pilihan utama sebahagian besar masyarakat Melayu Patani.
Tujuan mereka berbuat demikian tidak lain semata-mata memastikan supaya anak cucu mereka mendapat pendidikan agama secukupnya.
Jadi, tentang survival identiti sebagai Muslim di kalangan masyarakat Melayu Patani tidak akan menimbul sebarang kerisauan dan keraguan lagi. Ia pasti terjaga dengan baik. Meskipun kadang-kadang ia dikejutkan dengan sindrom percanggahan pendapat dalam memahami doktrin agama atau yang disebut oleh tokoh ulama-intelektual terkemuka Islam Prof.Dr.Yusuf al-Qardawiy sebagai ‘kemelut pemikiran’ di kalangan umat Islam moden. Akan tetapi kemelut ini hanya dari segi amali sahaja, dari segi akidah tetap sama. Ini kerana akidah pegangan mereka tetap satu, iaitu ber sumberkan al-Quran dan sunnah. Sehubungan dengan ini, jarang berlaku orang Melayu Patani menukar agama atau murtad atau seperti kata Dr.Sidek Fadhil ; “jika ada kejadian Melayu keluar Islam akan menimbul kegemparan besar (Dr. Siddiq Fadhil, 1992 :35). Pegangan akidah mereka tidak mungkin dapat digoncangkan oleh tiupan angin siamisasi dan modenisasi. Akan tetapi persoalannya sekarang, bagaimana pula dengan sikap mereka terhadap proses pemuliharaan warisan bangsa Melayu? Apakah dingin dan tidak serancak sambutan yang diberikan kepada agama Islam?
Selaku seorang pemerhati, saya merasa ragu-ragu dan bimbang tentang kedudukan kebudayaan Melayu yang semakin goyah, tidak bertenaga dan semakin jauh menjunam. Untuk merakam fenomena ini, saya pernah melakarkan kebimbangan ini dalam bentuk cereka yang diberi judul “Kehilangan”. 1 Yang dimaksudkan dengan kehilangan di sini ialah kehilangan jatidiri Melayu. Saya menggambarkan bahawa dalam tempoh masa 30 tahun akan datang jatidiri orang Melayu Patani akan pudar dan akhirnya akan hilang ditelan waktu begitu saja. Mereka tidak akan boleh lagi bertutur dalam bahasa ibunda yakni bahasa Melayu. Nilai-nilai kebudayaan Melayu langsung tidak nampak pada individu-individu yang bermastautin di Patani. Untuk mengenali manusia Melayu itu sangat sukar kerana mereka sudah tidak boleh lagi bertutur dalam bahasa Melayu. Memang benarlah kata-kata yang berbunyi ‘bahasa jiwa bangsa, hilang bahasa hilanglah bangsa’. Sebaliknya, identiti warisan kebudayaan Islam tetap terpelihara utuh.
Saya melakar cereka itu berdasarkan realiti dalam masyarakat Melayu Patani yang semakin hari lebih cenderung bertutur bahasa Thai walau pun sesama Melayu. Keadaan ini jelas terjadi terutama pada golongan elit Melayu dan penghuni pekan dan bandar besar. Sehingga ada di kalangan sesetengah keluarga Melayu di mana anak-anak mereka sudah tidak boleh bercakap Melayu lagi. Kalau ada hanya setakat faham sahaja, tetapi apabila mahu menjawab mereka lantas menjawab dalam bahasa Thai. Perbendaharaan bahasa Thai dalam minda mereka jauh lebih banyak dan kaya berbanding dengan perbendaharaan bahasa Melayu.
Sementara fenomena lain yang menjadikan diri saya tidak yakin dan berpuas hati dengan kedudukan kebudayaan Melayu sekarang ialah tahap kesedaran mereka kepada kepentingan kebudayaan Melayu sangat rendah malah tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa di paras yang amat kritikal. Sebagai contoh, umumnya menentang dan tidak bersetuju apabila saya cuba membentuk sekumpulan dikir barat di kalangan mahasiswa Melayu-Islam Universiti Prince of Songkla. Reaksi ini bukan sahaja daripada golongan agamawan tetapi turut juga ditunjuk oleh golongan intelek Melayu di menara gading. Mereka tidak bersetuju dengan kegiatan dikir barat. Alasan mereka ialah kegiatan seni budaya ini bercanggah dengan ajaran Islam serta dianggap sebagai maksiat. Tetapi yang peliknya kenapa mereka tidak langsung menunjuk sikap menentang apabila melihat anak-anak Melayu bersorak-sorai menonton siaran pertandingan bolasepak sampai larut malam. Kelab penyokong pasukan bolasepak handalan dunia, seperti Manchester United, Liverpool F.C, Arsenal, Real Madrid dan sebagainya yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan di setiap ceruk kampung dan pekan di selatan Thailand tidak diambil peduli kerana menganggap fenomena itu sebagai fenomena biasa. Bukankah budaya global ini mengancam budaya tempatan? Tetapi apabila kelab seni budaya warisan cuba bertunas timbul bermacam-macam spekulasi. Awal-awal lagi timbul berbagai tohmahan. Yang paling menyedihkan ialah suara-suara penentangan itu terbit daripada tokoh-tokoh intelek Melayu sendiri.
Apakah bezanya permainan bolasepak dengan dikir barat? Kenapa masyarakat memandang dingin kepada sindrom ‘gila bola’? Memang tidak dinafikan bahawa bersukan itu ada manfaatnya. Namun dalam masa yang sama ia juga tidak kurang memberi ancaman besar kepada kedudukan Islam itu sendiri.
Mereka sangat curiga kepada kegiatan seni budaya tempatan. Walhal tujuan asal diadakan kegiatan dikir barat dan seumpamanya adalah semata-mata untuk menarik perhatian remaja dan masyarakat Melayu kepada seni budaya sendiri yang secara psikologinya adalah lebih praktikal kepada citarasa Melayu.
Sebagai manusia normal memang kita perlu kepada seni dan kesenian. Tetapi seni kesenian ini biarlah berlandaskan prinsip-prinsip Islam. Untuk ini tokoh ulama-intelektual Islam terkenal Prof.Dr.Yusuf Qardhawi menyatakan begini :
Tidak diragukan lagi, seni atau kesenian merupakan perkara yang sangat penting kerana berhubungan dengan hati dan perasaan manusia. Seni berusaha membentuk kecederungan dan perasaan jiwa manusia dengan alat-alat yang beraneka ragam dan merangsang ; alat-alat yang dapat didengar, dibaca, dilihat, dirasakan, mahupun difikirkan. Tidak diragukan pula, seni sama halnya dengan ilmu. Ia dapat dipergunakan untuk kebajikan dan pembangunan, atau untuk kejahatan dan kerusakan. Di sinilah letak pengaruhnya besar (2000 : 13).
Orang Melayu Patani masih tidak memahami konsep sastera sebagai media dakwah yang memberi impak bukan kecil kepada penggemarnya. Bahkan dalam keadaan tertentu peranaan sastera itu diletakkan di hadapan dalam misi penyebaran agama Islam. Kedudukan para penyair sama tarafnya dengan golongan pendakwah.
Bertitik tolak daripada tanggapan di atas, saya cuba menggunakan media hiburan dalam bentuk dikir barat untuk mendidik anak-anak pelajar supaya mereka lebih peka dan sedar akan tanggungjawab mereka selaku seorang mahasiswa muslim. Itulah salah satu cara pendekatan yang saya kira sesuai dengan alam remaja, yang lebih mengutamakan hiburan dan keseronokan. Agar mereka tidak merasa pejal, keras, memaksa dan disogok bertalu-talu dalam menerima didikan. Dalam senikata lagu dikir barat pun saya selit unsur-unsur pendidikan, dan bukan unsur kelucahan (Sila lihat lampiran). Jadi apa salahnya kita mengguna jalan lain untuk sampai ke destinasi. Kata orang sambil menyelam minum air.
Sementara alasan lain ialah supaya mereka mendekati warisan budaya yang semakin dilupai. Sedangkan budaya asing semakin menguasai tatacara hidup kita.
Namun ini bukanlah bermaksud kesemua mereka tidak mempunyai kesedaran tentang peri penting budaya warisan sendiri. Kesedaran tentang hal ini memang masih wujud tetapi jumlahnya sangat kecil dan ia dalam keadaan ‘nyawa-nyawa ikan’. Lazimnya, bilangan yang kecil boleh ditelan dengan mudah dan akhirnya tunduk kepada jumlah yang besar. Pengaruh golongan besar lebih praktikal dan memberi impak yang sangat besar.
III
Dalam keghairahan masyarakat Melayu Patani menuju ke arah pembentukan masyarakat ideal menurut Islam, mereka seolah-olah melupai dan tidak memberi perhatian yang sewajar kepada aspek kebudayaan Melayu. Walhal dalam konteks alam Melayu, Islam dan Melayu telah menyatu menjadi satu gabungan padu yang saling lengkap melengkapi satu sama lain ibarat aur dengan tebing. Oleh itu, apabila disebut ‘Melayu’ dengan sendirinya membawa konotasi‘Islam’bersama. Ini kerana “Islam telah mewarnai dan menjati-dirikan orang Melayu dengan sibghatullah/pewarnaan Ilahi iaitu menjadikan mereka orang-orang Muslim, mu’min dan muhsin” (Hashim Musa, 2000 : 1). Atau seperti yang dikatakan Shahnon Ahmad ‘keunikan bangsa Melayu itu terletak pada roh atau jiwanya kerana agama Islamlah yang menjiwai apa yang disebut sebagai bangsa Melayu itu’(Baharudin Ahmad, 1992 : 70). Oleh itu, timbullah kata-kata terkenal “Hidup bersendikan adat, adat bersendikan hukum, dan hukum bersendikan kitab.” Dengan itu berlakulah Islamisasi pada beberapa paras : rohani, intelektual, kemasyarakatan, bahkan tamadun dan budaya tanpa mengenepikan kewujudan unsur-unsur pinggiran yang tidak harmonis dengan faham alam, ilmu dan nilai yang baharu itu.(Muhammad ‘Uthman El-Muhammady, 2002:2 ). Fenomena seumpama ini juga disebut oleh Sidek Fadzil(nama lain Dr.Siddiq Fadhil) bahawa “dalam menghadapi budaya tempatan Islam juga memperlihatkan keluwesan yang secukupnya sehingga warisan tradisi yang positif terus terpelihara.”(Sidek Fadzil : 2002 ).
Saya sangat setuju dengan konsep yang pernah diberikan oleh salah seorang sarjana Melayu, katanya ; ‘Malay is the another part of Islam.’. Untuk menjelaskan konsep ini saya suka memetik tulisan Dr.Siddiq Fadhil dalam bukunya “Minda Melayu baru”(1992), menurutnya :
“Memang Islam itu bukan satu kebudayaan. Islam sebagai ad-din adalah wahyu Ilahi yang universal dan tidak berubah ; sementara kebudayaan pula adalah karya manusia yang boleh berubah dan berbeza mengikut zaman dan lingkungan. Tetapi Islam dapat melahirkan kebudayaan. Kebudayaan yang dibina oleh Islam itulah yang dinamakan kebudayaan Islam, iaitu kebudayaan yang tumbuh dan berkembang dalam acuan syariat Islam. Kebudayaan yang dikaryakan oleh manusia Melayu, dalam persekitaran Melayu tetapi masih terkawal dalam kerangka syariat Islam, ia adalah sejenis kebudayaan Islam walaupun mungkin berbeza dari kebudayaan Islam rantau Arab, Parsi atau Afrika. Perbezaan itulah, ciri khas kemelayuannya itulah yang menjadikan rantau Melayu ini zon dan entiti budaya Islam yang tersendiri” (halaman 34)
IV
Sikap masyarakat Melayu Patani bagi memperjuangkan Islam dan usaha memartabatkannya patut diberi pujian. Hal ini diakui sendiri oleh warga Melayu daripada dearah lain. Setiap kali mereka mengunjungi Patani rata-rata mereka berpuas hati dengan kemurnian dan kewujudan agama Islam di Patani. Bahkan ada di kalangan mereka memberi pujian bahawa ‘orang Islam di Patani sungguh bagus, tiba saja di Patani kita merasa tidak terlalu asing di sini, bahkan nilai-nilai Islam di sini sangat terserlah.’ Itu di antara komen warga Melayu dari daerah lain terhadap perkembangan Islam di Patani. Tetapi dalam masa yang sama kita juga mendengar ada beberapa orang warga Malaysia berleter panjang setiap kali berkunjung ke Patani kerana, kononnya, ‘susah hendak berkomunikasi dengan orang Patani. Hendak mencari tulisan dalam bahasa Melayu pun susah’. Pernah berlaku satu rombongan bas pelancong dari Malaysia tersesat dalam daerah masyarakat Melayu Patani. Sebaliknya juga ada orang Patani sering mengeluh sendiri kerana susah mahu bercakap Melayu dengan orang Malaysia.
Sketsa peristiwa di atas sekurang-kurangnya dapat mencerminkan betapa kurang peka dan prihatinnya masyarakat Melayu Patani terhadap perkembangan kebudayaan sendiri. Budaya Melayu terhakis secara tidak sedar dan beransur-ansur.
Yang paling menyedihkan lagi ialah mentaliti kesedaran Melayu di kalangan golongan yang berpendidikan atau kononnya intelektual Melayu sangat rendah. Hal ini kita dapat perhatikan golongan elit Melayu di bandar berlomba-lomba menghantar anak-anak mereka ke kelas atau pusat-pusat tuisyen yang menawarkan mata pelajaran Sains, Matematik, Inggeris dan sebagainya. Dengan tujuan supaya anak-anak mereka akan cemerlang dalam bidang akademik dan berjawatan tinggi pada suatu masa kelak. Tetapi kenapa pula mereka tidak terpikir memasukkan anak-anak mereka ke pusat tuisyen bahasa Melayu. Kerana telah dimaklumi bahawa penguasaan bahasa Melayu di kalangan anak-anak mereka amat terbatas dan dalam keadaan kritikal serta tidak meyakinkan lagi membolehkan bahasa Melayu dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bahasa lain terutama bahasa Thai. Bahkan ada yang langsung sudah tidak boleh menguasai bahasa Melayu lagi. Ini sekurang-kurangnya dapat membuktikan betapa rendahnya mentaliti kesedaran Melayu di kalangan mereka.
Fenomena di atas, sebenarnya bukan hanya berlaku di kalangan golongan elit sahaja malah turut juga menjangkiti minda golongan masyarakat desa cuma bezanya golongan masyarakat desa tidak menjurus kepada pendidikan akademik tetapi mereka lebih memberi penumpuan kepada pendidikan agama. Menimba ilmu agama bukan persolaan dalam konteks perbincangan ini kerana seperti yang kita semua ketahui bahawa menuntut ilmu dalam Islam itu merupakan satu ibadah. Dan agama Islam sendiri sangat menuntut agar umatnya menuntut ilmu. Tetapi persoalannya timbul apabila golongan guru agama berlambak tidak terhitung banyaknya sehingga ada sebahagian daripada mereka menjadi penganggur lantaran ketiadaan sekolah yang boleh menampung mereka sebagai tenaga pengajar. Sebaliknya mencari seorang guru Bahasa Melayu kelam kabut jadinya. Pernah terjadi di sebuah sekolah agama rakyat di wilayah Narathiwat mengiklankan berbulan-bulan jawatan guru Bahasa Melayu tetapi tidak ada seorang calon pun yang layak. Sedangkan jawatan untuk guru Bahasa Inggeris, Matematik, Bahasa Thai dan lain-lain menerima pemohonan yang bertimbun daripada calon anak Melayu yang layak dalam masa yang singkat pula.
Ini satu lagi bukti yang menunjukkan betapa kurangnya anak tempatan yang mempunyai kepakaran dalam bidang bahasa dan kesusasteraan Melayu. Keadaan yang sama menunjukkan juga betapa miskin dan daifnya bahasa Melayu di sebuah daerah yang majoritinya orang Melayu. Hal ini terjadi mungkin mereka beranggapan bahawa bahasa Melayu tidak mempunyai nilai kormersial yang tinggi setanding dengan bahasa-bahasa lain atau dengan ilmu-ilmu agama. Mungkin hampir tiada yang terdetik di hati mahu ‘mengaji Melayu’ berbanding dengan mahu ‘mengaji Islam’. Berbondong-bondong anak Melayu Patani melangkah sempedan menyeberangi laut pergi belajar di Malaysia dan Indonesia, tetapi berapakah jumlahnya yang memilih untuk belajar dalam bidang pendidikan bahasa atau kesusasteraan Melayu. Yang saya tahu sejumlah besar daripada mereka memilih untuk ‘mengaji Islam’ dan tidak ‘mengaji Melayu.’ Hasilnya sarjana dan pakar dalam bidang Usuluddin dan Syariah berlambak banyaknya di selatan Thailand sehingga tiada tempat menampung mereka. Sebahagian daripadanya terus memilih untuk bermastautin di Malaysia yang diyakini bahawa jauh lebih baik dalam menawarkan peluang pekerjaan pada diri mereka berbanding dengan menjadi seorang graduan yang belum tentu masa depannya di institusi pengajian agama di selatan Thailand.
Sebab yang lain mungkin berpunca daripada sikap mereka yang beranggapan bahawa apa perlunya ‘mengaji Melayu’ lagi kerana kita sudah pun Melayu. Saya pernah ditanya oleh seorang guru berketurunan Melayu, katanya ‘mengapa kita perlu belajar Melayu? Apakah isi yang diajarnya? Dan jika tamat, apakah jenis pekerjaan yang layak dengan graduan bahasa Melayu? Pertanyaan seperti ini sampai sekarang masih bersipongan dan menguasai minda orang Melayu Patani apabila mereka berdepan dengan seorang graduan dalam bidang bahasa atau Pengajian Melayu.
Barangkali istilah ‘mengaji’ ini, seperti yang saya sebut awal-awal lagi, hanya layak untuk aktiviti-aktiviti yang bercorak keislaman sahaja ; bukannya yang berbentuk kemelayuan.
Apabila melihat perkembangan fenomena sosiobudaya Melayu dalam keadaan yang kritikal, statik dan tidak meyakinkan bahkan sedang menurun ke gaung maka pada tahun 1999 saya membuat keputusan secara menentang arus berhijrah ke Malaysia untuk ‘mengaji Melayu’ di Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, dengan harapan agar sekurang-kurangnya boleh mengisi kekosongan bagi memulihkan kembali kelesuan budaya Melayu di selatan Thailand. Sementara tujuan lain ialah untuk turut sama dalam memberi sumbangan ke arah menggerakkan kelestarian kebudayaan Melayu itu sendiri.
Abdulroya Panaemalae
Walailak University, Thailand
Kyoto Review of Southeast Asia. Issue 8-9 (March 2007). Culture and Literature
Kepustakaan
Hashim Musa, Prof.,Dr., 2000. “Agama Islam, Falsafah dan Pemikiran Melayu Sebagai Bidang Akademik dalam Pengajian Melayu” Kertas Kerja Persidangan Antarabangsa Pengjian Melayu 24-25 Ogos 2000 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka / UPSI / PNM di Perpustakaan Negara Malaysia.
Muhammad ‘Uthman El-Muhammady, 2002. “Agama Sebagai Pendorong Atau Pembentuk Pertembungan Tamadun.”
Prof.Dr.Yusuf al-Qardhawiy, 2000. Islam dan Seni. Jakarta : Pustaka Al-Hidayah. Siddiq Fadhil, Dr.,1992. Minda Melayu Baru. Kuala Lumpur : Institut Kajian Dasar
_____________, 2002. “Minda Muslim : Ketegaran dan Keluwesannya”, Kertas
Kerja Persidangan Isi dan Proses Pembukaan Minda Umat Melayu
Islam 29-31 Januari 2002 di Hotel Crown Princess Kuala Lumpur anjuran DBP.
Notes:
- Cereka ini tersiar dalam Jendela Timur, April 2004. ↩